|
PETALING JAYA 21 Mac - Kerajaan diminta mewujudkan rel penghadang di laluan pejalan kaki bagi membendung jenayah ragut bermotosikal yang berleluasa, terutamanya di sekitar lokasi tumpuan di ibu negara.
Naib Presiden Yayasan Pencegahan Jenayah Malaysia (MCPF), Tan Sri Lee Lam Thye berkata, walaupun rel penghadang tersebut mungkin tidak dapat membanteras jenayah ragut 100 peratus, ia mampu mengurangkan risiko pejalan kaki diragut penunggang bermotosikal.
''Mengikut kajian MCPF, penglibatan penunggang dan pembonceng motosikal dalam jenayah ragut amat tinggi.
''Dengan membina rel penghadang di laluan pejalan kaki, mereka tidak dapat melakukan jenayah itu, khususnya di lokasi yang menjadi tumpuan pelancong,'' katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Kempen Keselamatan bertemakan Lindungi Kejiranan Kita anjuran Pusat Perubatan Tropicana (TMC) di Kota Damansara dekat sini hari ini.
Turut hadir, Ahli Parlimen Subang, R. Sivarasa; Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Asisten Komisioner Omar Mammah; Ketua Pegawai Eksekutif TMC, Bryan Lin dan Pengarah Eksekutif TMC, Wenddi Anne Chong.
Selain itu, Lam Thye turut mencadangkan kerajaan agar memasang kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan yang berisiko tinggi yang terlibat dalam jenayah ragut dan samun di ibu negara.
''Dengan pemasangan CCTV di kawasan tersebut, ia akan membantu Polis Diraja Malaysia dalam siasatan kes-kes jenayah terbabit,'' katanya.
Dalam pada itu, beliau mencadangkan supaya kewujudan papan-papan iklan besar di setiap jejantas di ibu kota dapat dikurangkan bagi mencegah kes samun dan ragut. |